Tentang Kenangan
Aku kira, sukar juga menjadi seorang yang mudah menyimpan kenangan ya? Baik hal yang dianggap biasa seperti awal pertemuan atau yang lebih indah dari itu.
Hatta sebaris sapaan yang meredupkan pandanganku, aku mampu mengimbas kembali perinciannya tanpa sokongan daripada sesiapa.
Aku juga ingat akan kenangan daripada pengalaman yang meniti di bibir orang, yang sudi dikongsikan kepadaku.
Bersama kenangan, aku menjadi terlalu mudah memberi maaf hanya dengan senyuman meski aku tahu ianya palsu. Aku sambut kebaikan yang beribu, meski aku tahu ada udang di sebalik batu.
Aku bertambah terluka jika diceritakan kembali kenangan itu kepada mereka namun ia sudah dilupa seakan-akan ia tiada makna. Meskipun ia sudah lama berlalu, aku tak pernah lupa bagaimana hatiku merasa bahagia pada hari itu.
Aku ketawa bersama ramai orang, tetapi aku tak pernah lupa siapa yang setia di saat susah dan senang. Sudah menjadi lumrah hidup insani, manusia datang dan pergi.
Tetapi setiap kenangan masih terpahat di sini, di dalam ingatan ini.
Tidaklah aku mengharapkan perhatian atau pulangan yang serupa, hanya memberitahu bahawa setiap kehadiran itu sangat istimewa bagi aku.
Barangkali kenangan yang mereka pilih untuk ingat itu hanya daripada orang-orang yang mereka pilih untuk sayang, sekalipun kebaikan berupa penghargaan itu percuma.
Sepertinya ramai orang lebih mudah mengingati luka kemudian pantas membenci aku kerananya. Tetapi aku ingat akan keduanya; kenangan dan juga luka.
Aku sebenarnya lebih sengsara.