Doa dan Kecewa
Buat yang putus asa dalam berdoa,
Jangan sesekali samakan pengharapan kita terhadap Allah dengan pengharapan kita terhadap manusia. Bukanlah bermakna kita perlu berhenti berdoa seperti mana kita jangan berharap pada manusia kerana takut kecewa.
Cuma soal urusan kita dengan Allah, kadangkala kita perlu ingat bahawa tidak semua perkara harus difaham dengan perincian jawapan, jika tidak tiada di antara kita bakal tahu erti sabar dalam perjuangan.
Akal kita terbatas, sedang ilmu-Nya teramat luas. Bahkan Dia lebih mengerti seluruh isi hati, sebelum kita sempat menterjemahnya sendiri.
Percayalah, jika permintaan kita diperkenankan, ia pastinya baik. Jika tidak, ia akan diganti dengan yang lebih baik.
Boleh jadi apa yang kita cari itu sudah terbentang di hadapan mata, namun tanpa ujian kita tidak berupaya untuk menyedari apatah lagi mensyukurinya.
Allah menyekat kita daripada menerima sesuatu, mungkin disebabkan dosa kita sendiri. Bukan Dia benci, hanya ingin kita kembali (bertaubat). Mungkin sudah disediakan hadiah yang teristimewa, diberikan setelah kita bersih hati dan jiwa.
Mungkin juga, sesuatu yang diminta itu bukanlah terhalang, tetapi hanya ditangguhkan hingga tiba waktu di mana kita sudah siap menerimanya. Terkadang, Allah menunda sesuatu yang indah untuk menjadikannya lebih indah. Allah bersama hamba-hambaNya yang sabar.
Andai saja takdir selalu berjalan sesuai kehendak kita, barangkali sedikit sahaja manusia yang berserah kepada-Nya. Lalu bagaimana kita fikir kita akan belajar mencintai Dia?
Sahabat, hanya berapa kali kita berdoa tetapi Allah belum perkenankan? Berapa kali pula kita berdoa hatta hal-hal yang hanya terlintas di fikiran kemudian Allah sudi perkenankan? Malah jika kita hitung, terlalu banyak nikmat yang tidak pernah kita minta tetapi Allah sudi beri tanpa sebarang syarat.
Kecewa dan bahagia itu pilihan. Ada orang masih boleh tersenyum ketika kecewa, ada juga orang yang masih rasa kosong walaupun ketika bahagia.
Tidak kira berapa lama kita menjauhkan diri daripada Allah kerana berterusan kecewa dek takdir yang tidak menyebelahi diri, pada akhirnya kita akan sedar bahawa kitalah yang paling memerlukan Dia setelah tersingkap beribu hikmah di sebalik keperitan yang kita lalui selama ini.
Benar, ia soal waktu. Allah itu Maha Tahu, tugas kita dari awal adalah percaya.
Seperti mana ketika kecil kita akur akan arahan kedua orang tua kerana percaya mereka sayangkan kita, sekalipun kita belum mengerti niat mereka. Bukankah hari ini kita dibesarkan menjadi seorang dewasa yang bermanfaat dan berguna?
Boleh jadi selama ini kita sering kecewa kerana lebih menyandarkan kehendak dan kecenderungan pada hal-hal dunia, walhal permohonan yang terbaik adalah keredhaan dan keampunan dari-Nya. Minta diselamatkan dari azab nereka serta dikurniakan nikmat syurga.
Kerana setiap hamba yang diampunkan, apa jua permintaannya pasti termakbul. In shaa Allah.
Berdoalah, kembali berdoa, teruskan berdoa. Meski kita harus kehilangan segalanya, setidaknya doa mendekatkan kita dengan Pencipta.
—
(Lebih kurang setahun yang lepas)
"Hello assalamualaikum?" Aku menyapa.
"Waalaikumussalam." Pantas dijawab tetapi nadanya sebak.
Aku terdiam, menanti jika ada sesuatu yang hendak dibicarakan dahulu.
"Aku nak cerita something." Suaranya langsung berubah, cuba menahan esakan.
"Kenapa ni? Ceritalah."
".........."
10 saat awal panggilan hanya terisi dengan suara tangisan.
Kemudian dia menyambung,
"Aku pernah ada impian yang tinggi, yang kalau aku cerita kat orang, majoriti orang akan perlekehkan aku and boleh kata mustahil bagi diorang. Aku penat dengan mulut orang."
".........."
"Tapi aku tak give up, so aku mengadu kat Allah. Setiap hari aku mintak kat Allah sebab aku yakin Dia dengar dan akan kabulkan. Sampai 'benda' tu kerap masuk dalam mimpi aku, aku betul-betul nak 'benda' tu jadi kenyataan.
Lama aku tunggu, tapi akhirnya aku broken teruk sebab tak dapat. Aku tak nak berdoa lagi. At least kalau aku berharap pada diri sendiri je, aku takkan salahkan Allah bila harapan aku hancur macam sekarang."
Aku masih berdiam, cuba mengerti akan keadaannya sambil memikirkan jawapan yang paling sesuai untuk diberikan.
Di hujung talian, aku tahu tangisannya mula reda. Mungkin lega setelah diluahkan apa yang sudah lama terbuku di hati.
Tanpa dia sedar, aku pula yang bergenang air mata.
—
Bersama doa,
Sahabatmu.