Being Humblebee

Dalam hidup ni, apa pun yang kita buat, kita kena terima hakikat yang kita akan sentiasa diuji. Hatta ketika kita nak buat baik sekalipun.

Kita nak tolong orang, mulanya elok dah niat kita. Tiba-tiba sampai separuh jalan, kita rasa penat, rasa terbeban, rasa menyesal pun ada.

Kadang-kadang tu dengan kawan rapat atau dengan orang yang kita sayang, kita tak ada masalah. Nak buat apa pun sanggup.

Tapi bila sampai dekat orang yang kita tak berapa rapat, lagi-lagi dengan orang yang pernah sakitkan hati kita, kita jadi teragak-agak.

Waktu tu ikhlas kita teruji. Kita mula mempertikaikan macam-macam. Hal kecil sengaja diperbesarkan.

Seolah-olah kita meletakkan syarat terhadap orang-orang tertentu sebelum berbuat baik dengannya.

Sebenarnya kita buat baik untuk apa?

Kebaikan itu terlaksana bukan untuk orang menyedarinya, bukan untuk dihargai, bukan untuk dibalas oleh sesiapa.

Semua itu terletak di tangan orang yang menerima kebaikan tersebut. Kita tak boleh nak paksa. Jika dia memilih untuk tidak menghargai, yang ruginya dia, bukan kita.

Cukup Allah redha dengan kita, kita dapat kesemua yang kita mahukan. Cukup kita yakin Allah tidak akan mempersia-siakan kebaikan yang kita lakukan, kita bahagia.

Kerana balasan dari Allah, tiada taranya. Jadi mengapa jika tidak menerima apa-apa balasan dari manusia masih membuatkan kita kecewa?

Above all, aku sedar satu benda. Kebaikan dan kerendahan hati selamanya perlu seiring.

Buatlah baik banyak mana pun, tapi bila dalam hati tu ada rasa diri lebih baik dari orang lain, rasa lebih hebat, asyik nak cari silap orang, asyik mengharapkan balasan, macam mana kita boleh yakin kebaikan yang kita buat akan memberikan ketenangan buat diri kita?

Nak buat baik, belajar merendah hati dengan menganggap bahawa orang lain jauh lebih baik dari kita. Lillahi ta'ala.

Daripada situ kita tidak akan berkira dengan siapa kita mahu menabur budi. Daripada situ kita terselamat dari segala penyakit hati. Daripada situ kita dapat miliki keikhlasan kelas tertinggi.

Mudah-mudahan.

Mengertilah. Tidak semua kebaikan itu boleh dilihat. Kerana kebaikan itu sendiri bukan bertujuan untuk dipertonton atau ditunjuk-tunjuk.

Seorang anak yang mengasihi ibu bapanya, saban hari mengirimkan doa buat kedua ibu bapanya itu tanpa pengetahuan mereka. Adakah doa itu bukan dikira kebaikan hanya kerana tiada orang yang nampak?

Seorang sahabat yang menahan amarahnya terhadap sahabatnya yang lain demi menjaga ikatan perhubungan, adakah waktu itu semua orang sedar bahawa diamnya itu juga merupakan satu bentuk kebaikan?

Sabar, lapang dada, sangka baik itu semua kebaikan yang jarang sekali orang menyedarinya.

Poinnya cuma satu. Belajar untuk sentiasa memberikan layanan yang baik kepada semua orang walaupun terhadap orang yang sering menyakiti kita.

Kerana kita tidak pernah tahu sebanyak mana kebaikan orang itu terhadap kita dek keterbatasan kita dalam menilai sesuatu.

Kita jangan sedih kalau orang tak pernah hargai usaha kita dalam melakukan kebaikan. Kita mungkin tak dapat pulangan yang sama, tapi sebenarnya kita dapat lebih dari yang kita sangka.

Ya, ketenangan jiwa.

Sebab tu, kebaikan dan kerendahan hati mesti jalan sama-sama. Sikap yang selari dengan jiwa seorang hamba.

"Rendahkan hatimu serendah-rendahnya hingga tidak ada seorang pun lagi yang mampu merendahkannya." Kata sahabat.

Bila kita sentiasa rendah hati, kita tak akan mudah kecewa disebabkan manusia. Sungguh.

Sudah, senyum!