Dewasaku
Dewasaku mengajarkan, terkadang untuk lebih berbahagia adalah dengan menyembunyikan kebahagiaan.
Banyak hal yang menjadi lebih lancar jika dirahsiakan. Tidak perlu diceritakan semua, tidak juga harus terlalu menyimpan.
Berpadalah.
Biar kamu tahu siapa yang benar-benar peduli, biar kamu kenal siapa yang sudi bersama bukan kerana kelebihan kamu semata-mata.
Tidak semua mengenalmu dengan hati, ratanya hanya mengenalmu dengan mata. Apatah lagi jika kamu mendefinisikan bahagia itu adalah perhatian daripada apa yang didedahkan menjadi tatapan dunia.
Pesan sahabat, jangan rasa tidak disayang jika tidak ditayang.
Bersederhana dalam mempamerkan kelebihan dan nikmat tidak menjadikan kita kurang atau kehilangan apa-apa, tetapi setiap penerimaan itu cukup menyedarkan kita bahawa semua itu hanyalah pinjaman daripada-Nya.
Suatu masa jika nikmat itu perlu dikembalikan, tiada insan yang bakal menghakimi dan mempersoal.
Suatu masa jika nikmat itu diselangi ujian, tidaklah mudah menggugat keyakinan dan kebergantungan kita terhadap Tuhan.
Bahkan jika nikmat itu dilipatgandakan, maka berlipatgandalah juga kesyukuran dan pemberian kita selaku insan.
Ada orang memilih untuk berkongsi hal-hal kecil, sedang mereka sembunyikan hal-hal yang lebih indah di sebaliknya. Sebagaimana zahirnya sekeping gambar namun menyimpan 1001 kenangan.
Kerana nanti tiba-tiba yang bersorak di saat kita senang lebih ramai berbanding mereka yang menghulur tangan dan meminjamkan bahu di saat kita susah.
Biasalah manusia, adakala bukan mereka berniat meninggalkan, mungkin silapnya pada kita yang mengangkat kedudukan mereka lebih tinggi berbanding yang sepatutnya.
Aku sedang dewasa; tidak menjadi masalah jika manusia datang dan pergi, tidak juga tersisih jika kelebihanku tidak diketahui;
Kerana pada akhirnya hanya aku yang mampu menyayangi diriku menandingi sesiapa.
Alhamdulillah 🌷
— 31/12/20