Sederhana
Sederhana.
Makin dewasa, makin kerap aku menanggung peritnya kehilangan. Makin ramai juga yang melangkah pergi di atas pilihan. Di sini aku berdiri, memerhati bertemankan pengalaman.
Hidup aku tidak kelihatan seperti kebanyakan orang. Serba ada, perhatian di mana-mana. Namun keistimewaanku adalah menurut prinsipku sendiri, tidak tertakluk pada mana-mana perbandingan manusia.
Makin sedikit kelebihan, makin ringan tanggungjawab. Makin sedikit kemewahan, makin kurang hitungan hisab. Sekurang-kurangnya ujian menjelaskan sejauh mana tahap kemampuanku. Hakikatnya syukur menjadikan kita punyai segalanya.
Terkadang bukan tidak memiliki, sama ada tidak memperlihatkan kepada dunia atau sendiri yang melepaskan kerana lebih memaknai erti penghargaan terhadap diri. Aku lebih gemar berdamai dengan diri sendiri berbanding diiktiraf beruntung oleh manusia.
Sederhana inilah yang menjaga hati manusia daripada iri. Sederhana ini jugalah yang memudahkan proses aku menjadi diriku sendiri; tidak dipengaruhi kebendaan mahupun susuk tubuh yang penuh kepura-puraan.
Kebahagiaan itu lahir dari sanubari yang sejahtera, terbias dari kaca mata seorang hamba. Bukan menerusi tanggapan orang yang membuta. Diusahakan menyebar kebaikan namun kepercayaan itu tetap tinggi nilainya.
Ya, ada perkara dalam dunia ini di luar kawalan kita. Usah dibebankan dengan yang itu. Bagaimana pula dengan perkara yang mampu dikawal? Aku tiada alasan untuk sengaja menghumban diri ke jurang duka gara-gara musibah yang mampu dielak sejak awal.
Tiada salahnya ikhtiar demi meraih sesuatu, apatah lagi jika ia bermanfaat dan bermatlamatkan redha-Nya. Tidak mengapa jika mengimpikan apa-apa dari isi dunia, namun biarlah diri kita kekal tunduk menyembah Yang Esa.
Terlalu sibuk mengejar dunia, walhal dunia bukan milik kita pun sebenarnya. Celiklah, dunia bukan medan kita membolot segala kehendak berpusatkan nafsu. Jika kamu bersikap seperti dunia ini adalah segalanya buat kamu;
Aku berani jamin semua itu hanya sementara.