Ketika Aku Diuji
"Allah takkan uji seseorang di luar kemampuannya."
Betul.
Kita semua diuji mengikut tahap kemampuan kita sendiri dan tahap kemampuan setiap orang itu berbeza-beza.
Ada orang diuji dengan masalah keluarga dan itu menjadi kelemahan buat dirinya, jadi ujian itu mungkin berat bagi dia. Ada juga orang, diuji dengan ujian yang sama tetapi kelemahannya pada hal yang lain, jadi ujian itu boleh jadi biasa sahaja bagi dia.
Ada orang jenis mudah terasa dengan ucapan sarkastik seseorang, itu menjadi kelemahan buat dia kerana dia seorang yang hatinya lembut. Ada juga orang yang berada dalam situasi yang sama tetapi hatinya lebih kental dan dia mempunyai sifat dan perwatakan yang kasar, jadi ucapan orang bukanlah satu masalah bagi dia.
Begitu juga dengan ujian lain.
Sebab itu, jangan kita terlampau bangga dengan ujian kita yang kita anggap berat berbanding orang lain, tidak semestinya orang lain yang diuji dengan ujian yang lebih ringan bermakna Allah kurang sayang dia.
Juga, jangan rasa terhina hingga kita berputus asa dan hilang harapan bila orang perlekeh kita seolah-olah ujian kita ini tiada apa-apa pun, hanya perkara kecil. Bukan mereka ada ketika kita bersusah payah mencari solusinya.
Kebanyakan manusia hanya tahu menilai, walhal belum pernah menyarung kasut yang sama.
Jika kita boleh saling bertukar-tukar ujian sesama kita, pasti kita tidak sanggup untuk memikul ujian orang lain bukan kerana ia terlalu ringan atau terlalu berat, tetapi ia tidak sesuai dengan jiwa kita.
Kita anggap sahaja — selagi kita diuji, selagi itulah Allah sayang.
Dan sepanjang kita melalui ujian itulah yang menjadi proses tarbiyah untuk menambah kecintaan kita terhadap Allah hari demi hari. Jika kita bersabar, kita juga akan menerima balasan cinta daripada-Nya. Kemudian kita bersiap untuk diuji lagi dan lagi.
Untuk apa kita diuji dengan banyak ujian, jika itu pun masih gagal menjadikan kita lebih bersifat kehambaan? Moga Allah sentiasa pelihara kita dari segala penyakit hati.
Kejayaan dan nikmat dalam mengharungi ujian adalah bila mana kita tahu tahap kemampuan kita lalu kita bersabar dan bersyukur, dan itu menjadikan kita lebih kenal akan Allah.
Senyum.