Love, Iman.

"Puncak kesabaran itu diam, walaupun dalam hati terus berbicara. Manakala puncak kekuatan itu tersenyum, walaupun terus menitis ribuan air mata."

Setiap pekerjaan yang kita lakukan kerana Allah, bukan bermakna ia akan jadi sempurna sejak awal hingga ke penghujung. Bukan bererti kita langsung tidak boleh melakukan kesilapan.

Ada masa kita diuji, di pertengahannya terkadang membuatkan langkah kita terhenti, melutut menangisi kudrat yang terbatas ini. Masih berhadapan realiti, namun canggung antara masa silam dan impian.

Takut dengan bayang-bayang sendiri, lelah kerana tiada yang sudi menemani. Disangka huluran tangan yang bakal disambut, rupanya tangan sendiri yang terpaksa mencabut ribuan badik yang tercucuk. Berkali-kali.

Acap kali manusia mengambil kesempatan di sebalik kebaikan, mempergunakan kelebihan atas takhta seorang kawan, mencela kekurangan ketika sudah tidak sehaluan. Tidak perlu disebut berapa ramai yang pergi setelah mencipta memori.

Bukan kerana kita tidak nampak, bukan pula kerana tidak punya perasaan. Tidaklah terlalu 'hijau' untuk menerka tujuan di sebalik tindakan. Namun tetap, mata ini tiada upaya menembusi hati untuk menterjemah niat sesiapa.

Tangan yang sengaja menyakiti tidak pernah peduli, yang tidak sengaja menyakiti pula bukan dengan niatnya mahu mengguris hati. Memilih untuk melupakan dan memberi maaf, itulah jalan terbaiknya. Demi kebahagiaan sendiri.

Adakala luka ini harus disimpan sahaja, kerana jika ia dibalut oleh manusia pun, kelak pengakhirannya masih serupa; sembuh sendiri ditimbus masa. Biar waktu menjadi pengubat setia, diiringi doa serta kesabaran bagi pihak kita.

Tidak semua episod harus diceritakan, kerana bukan semua orang bijak mengurus hati. Tidak semua keadaan mampu ditafsir dengan atur kata, kerana ia hanya akan difahami apabila empunya badan sendiri yang mengharungi.

Sejauh mana perjalanan ini mampu mengajar kita untuk meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah, selagi itulah kita harus kuat untuk meneruskan. Patah sebelah sayap, usah pula berpura-pura lumpuh.

Hakikatnya kehidupan ini bukan tentang siapa betul dan siapa salah, siapa matang dan siapa mentah, siapa menang dan siapa kalah. Tetapi siapa yang paling banyak belajar. Aku percaya, yang sabar selalu merangkul watak utama.

Menerobos segala ujian, akhirnya tumpuan kita hanya pada satu intensi murni; lillahi ta'ala. Kita lakukan ini kerana Dia, bukan manusia. Bersabarlah sedikit sahaja lagi, nanti semuanya akan tertebus dengan izin-Nya.

Bercampurlah dengan semua orang untuk mengenal dunia, namun jangan sekali-kali membiarkan mereka mempengaruhi fikiranmu melainkan yang baik-baik sahaja.

Usah meletakkan syarat dan harga bagi setiap kebaikanmu. Simpanlah luka yang tidak sepatutnya ditayang percuma. Didik hatimu untuk berlapang dada serta menghargai setiap yang ada di depan mata.

Tersenyumlah semula, keperitanmu itu hanya seketika.

 Love, Iman.