Cerminan Hati
Kadang hadirnya ujian menuntut kita hanya satu; menyedari dan belajar dari kesilapan lalu. Tidak semua khilaf yang ada pada diri kita, kita nampak. Bukan setiap masa kita sedar akan sisi kita yang lumpuh.
Hendak mengharapkan kita menangis bermuhasabah diri setiap malam kerana menyesal di atas segala keterlanjuran diri, jarang sekali. Istighfar sahaja hanya berapa kali sehari.
Jadi Allah datangkan ujian berbentuk pengkhianatan orang terhadap kita. Allah datangkan bermacam-macam kerenah dan perangai manusia untuk kita berhadapan dengannya.
Mungkin ketika itu, itulah satu-satunya cara untuk kita kembali sedar bersua realiti. Untuk kita jadikan ia sebagai refleksi, mungkin itulah diri kita yang sebenar yang belum sempat diperbaiki. Mungkin itulah tingkah laku kita yang sebenar yang belum sempat dikesali.
Hakikatnya kita belum betul-betul kenal diri kita sehinggalah kita celik perhati ke dalam cerminan berupa sikap dan layanan manusia. What goes around, comes around.
Kifarah bukan dendam. Ia bukti bahawa Allah bersifat dengan sifat-Nya yang adil. Adilnya Allah bukan hanya dengan kita seorang, tetapi dengan semua hamba-Nya. (Definisi Adil: meletakkan sesuatu pada tempatnya).
Kerana itu orang yang rendah hati, apabila mereka ditimpa ujian, mereka bersabar. Mereka berlapang dada dan mudah memaafkan. Mereka bersangka baik dengan Tuhan, juga sesama insan. Malah ujian menjadikan mereka lebih akrab dengan Tuhan.
Tiliklah diri sebelum menuding jari. Waspadalah bila mana kita suka meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas orang lain, boleh jadi kita sudah buta daripada melihat kesilapan sendiri.
Andai tiada luka dan kesakitan yang ditanggung hari ini, dengan cara apa lagi kita akan menyedari kekurangan diri? Dengan cara apa lagi kita akan menjadi seorang hamba yang tidak bongkak meninggi diri?
Berani mengaku silap. Kita semua melakukan kesilapan sebelum mencapai kematangan. Jika malu untuk mengakuinya di hadapan manusia, setidaknya usah menipu diri sendiri.
Jangan sesekali sanggup membalas kejahatan dengan kejahatan. Kita hanya akan menjadi penyambung kejahatan tersebut. Boleh jadi sikap buruk orang yang tak henti-henti kita terima hari ini adalah kerana kita asyik berdendam, suka balas membalas.
Kekuatan itu biasan akhlak yang baik. Teruslah melakukan kebaikan meski sering dilukakan. Orang yang berbuat baik tidak pernah lemah, mereka hanya dianggap lemah oleh orang yang tidak seperti mereka.
*Senyum nampak gigi tenggelam mata*