Sakti Kebaikan

Saat kita memberi, kita akan turut menerima.

Ketika kita menolong orang lain, pada masa yang sama kita sedang menolong diri kita sendiri juga.

Apa yang kita lakukan untuk orang lain, sebenarnya kita sedang melakukannya untuk diri kita sendiri.

Inilah rahsia kehidupan yang tersembunyi.

Bukan kita tidak melihat kebenaran ini, tetapi kita enggan mempercayainya.

Kerana itu ramai orang lebih berbahagia menerima daripada memberi, lebih suka ditolong daripada menolong.

Walhal hakikatnya melalui pemberianlah kita akan menerima, sesuatu yang jauh lebih berharga dari yang kita sangka yang tidak semua orang mampu merasainya. Itulah ketenangan jiwa.

Ketahuilah, hidup ini hanya berpusat kepada diri sendiri.

Mari aku kongsikan sebuah kisah menarik;

Seorang lelaki yang buta sedang berjalan dengan tongkatnya di malam hari.

Tangan kanannya memegang tongkat sementara tangan kirinya membawa lampu.

Situasi ini cukup menghairankan bagi seorang pemuda yang kebetulan melihatnya.

Pemuda itu lalu bertanya,

"Mengapa anda berjalan membawa lampu?"

Orang buta itu menjawab,

"Sebagai penerangan."

Dengan hairan pemuda itu bertanya lagi,

"Tapi.. bukankah anda buta dan tetap tidak dapat melihat jalan meski ada lampu penerangan?"

Orang buta itu tersenyum sambil menjawab;

"Walaupun saya tidak dapat melihat, orang lain dapat melihatnya. Selain membuat jalanan menjadi terang, hal ini juga menghindarkan orang lain untuk tidak melanggar saya."

Demikianlah perumpamaannya.

Ingatlah teman,

Setiap perkara yang kita sumbangkan demi kemaslahatan orang lain, sebenarnya ia adalah untuk diri kita juga.

Tiada kebaikan yang sia-sia, hanya kita sahaja yang mudah berputus asa dari rahmat-Nya.

Usahlah merasa jemu dan puas dalam berbuat kebaikan kerana kebaikan akan tetap diingat selama-lamanya.

Ia kekal menjadi teladan serta inspirasi buat insan yang celik hatinya. Ia tetap menjadi asbab seseorang itu mampu bermuhasabah diri.

Meski kebaikan kita itu kadangkala berjalan sehala, mungkin ia tidak disambut, tidak dihargai, tidak dibalas dan sebagainya. Tetaplah melakukan kebaikan.

Kerana di situ ada manisnya berbanding kesumat dendam dan buruk sangka, yang mana kesan dan mudharatnya juga akan berbalik kepada kita.

Kadangkala sikap orang terhadap kita itu adalah cerminan untuk kita menilik semula diri kita yang mungkin sudah jauh tersasar, sombong dan lupa diri.

Kita mahukan kebaikan daripada orang lain, tetapi sebanyak mana kebaikan kita terhadap mereka?

Kita mahukan sesuatu daripada orang lain, tetapi sebanyak mana pemberian kita kepada mereka?

Hidup ini bukan soal meminta-minta. Apa yang kita terima hari ini adalah apa yang telah kita berikan sebelumnya.

Usahlah kita terlalu mengharapkan sesuatu daripada manusia, sebaliknya usaha sahaja menjadi seperti apa yang kita mahukan daripada mereka. Kelak pasti ia berbalik kepada kita semula.

Disebabkan itulah kita harus terus melakukan kebaikan. Bukan setiap masa kita betul, bukan setiap masa kita sedar kita ada melukakan hati sesiapa.

Sekurang-kurangnya kebaikan itulah yang akan menutup semula lompong-lompong kekurangan yang ada.

Jikalau terdetik mahu berbuat baik, lakukan sahaja tanpa memikirkan balasan daripada orang. Usahlah kita berkira dengan siapa kita mahu menyebar kebaikan.

Yang penting kita tahu dan yakin bahawa Allah SWT menerima amal kita. Bukankah redha-Nya yang kita damba?

Kita berbuat baik bukan untuk dianggap sebagai orang baik, bukan pula untuk dibalas oleh orang lain, cukup bagi kita jika Allah SWT redha dengan perbuatan tersebut.

Cukup Allah redha.

Sebagai seorang hamba, itulah pulangan yang tiada tolok banding. Moga syurga buat kita semua.

Wallahu a'lam.