Bab 3 - Hilang

"Kak Mira..."

"Eh? Iffah tak nak balik lagi?"

"Belum lagi... Ada benda sikit nak tanya akak."

"Boleh tapi bukan kat sini hehehe."

Amira mengenjutkan keningnya lalu mempelawa Iffah untuk dibelanja minum petang olehnya di kafe.

Iffah yang sedikit kekok apabila pangkal lengannya dipaut oleh Amira itu hanya menurut sahaja ajakan sahabatnya. Kata orang, rezeki jangan ditolak.

Amira merupakan naqibah yang mengendalikan kumpulan usrah yang disertai Iffah. Walaupun jarak usia mereka hanya setahun, Iffah sangat menghormati dan memandang tinggi terhadap sosok tubuh yang disegani ramai itu.

Sesampainya mereka di kafe, Amira terus memesan dua gelas carrot susu. Iffah tidak menyangka bahawa selera Amira kena benar dengan seleranya, seperti tahu sahaja minuman kegemarannya.

Setelah mengambil pesanan, mereka berdua pun duduk di satu sudut sambil menikmati pemandangan waktu petang.

"Hah nak tanya apa?"

"Hm dari mana nak mula ya?"

"Tak apa, take your time."

"Sebenarnya akak, saya rasa kehilangan sesuatu yang saya sayang sangat."

"Apa dia?"

"Diri sendiri."

Amira menyedut penyedut minumannya untuk membasahkan tekak yang kering.

"Jadi awak sendirilah yang lebih tahu jawapannya. Bukan akak."

"Betul. Tapi saya... Saya cuma perlukan sokongan."

"Ceritalah."

"Sebenarnya..... Saya ada couple dengan seorang lelaki ni."

Tutur bicara Iffah menjadi perlahan. Dia bimbang jika seorang wanita hebat di hadapannya itu berasa jijik lalu enggan berkawan dengannya lagi.

"Teruskan."

Sebaliknya, Amira sedikit pun tidak menunjukkan reaksi terperanjat. Dia malah tersenyum dan meminta Iffah untuk menyambung semula ceritanya.

"Saya tak nak buat dah."

Tanpa diduga, mata Iffah berkaca. Dia menekup mukanya sambil menundukkan kepalanya menghadap lantai. Dia malu untuk menjelaskan dengan lebih lanjut.

"Kalau awak tak nak cerita apa yang awak dah buat, ceritalah apa yang awak mahukan."

"Saya cuma nak berubah kak. Itu aje."

"Jadi apa yang menghalang?"

Iffah tidak membalas pertanyaan Amira. Dia sedang cuba mengawal emosinya. Air matanya disapu perlahan namun masih ada sisa-sisa yang berlinangan.

"Dulu mak ayah saya hantar saya sekolah agama. Mulanya saya tak nak, saya memberontak. Tapi akhirnya saya rasa selesa kat sana lepas beberapa bulan. Kat sana saya didedahkan dengan banyak benda. Ada usrah, ada alunan ayat-ayat suci al-quran setiap pagi, ada program tarbiah, ada latihan tazkirah, ada tadarus, ada kawan-kawan yang kejut qiamullail, ada macam-macam. Semuanya indah-indah.

Sekarang, lepas saya masuk uni, saya kehilangan semua tu. Jiwa saya kosong. Saya yang masih merangkak untuk berubah ni hilang sokongan. Kenapa kak? Kadang-kadang saya rasa Allah dah tak sayang saya. Saya tak layak ke nak rasa semua tu lagi macam dulu? Sekarang saya dah kembali kepada masa silam saya malah lebih teruk lagi. Saya tak ada sokongan kak. Saya tak mampu bergerak sendiri."

"Aik? Bukan ke sekarang awak join usrah dengan akak?"

"Usrah je."

"Raihanah kan sahabat dunia akhirat awak? Dia kan selalu ada untuk awak, selalu nasihat awak, bagi semangat kat awak?"

"Raihanah dengan akak je."

"Awak kan sekarang ambik kos agama? Mesti ada juga momen-momen indah macam yang awak cakap tadi?"

"Tak sama macam dulu."

"Itulah yang awak terlepas pandang. Manusia ni bila makin banyak nikmat yang dia dapat, makin susah nak mensyukuri perkara yang remeh-temeh, sedangkan itu semua juga adalah nikmat. Kira ok lagi tu Allah masih izinkan awak rasa kemanisan tarbiah walaupun tak sehebat orang lain. Ada orang, mereka tak berpeluang pun.

Bila Allah tarik apa yang kita sayang, sebenarnya Allah nak gantikan dengan yang lebih baik cuma mungkin kita belum nampak lagi. Sifirnya mudah, belajar bersyukur untuk bahagia bukan tunggu bahagia dulu baru nak bersyukur. Kadang-kadang, bukan sebab kita ni serba kekurangan sangat pun tapi sebab kita tak reti bersyukur. Itu yang hati kita jadi tak tenang.

Semua manusia terima nikmat dari Allah. Setiap hari kita masih bernafas, masih sihat tubuh badan, masih mampu melihat dan berjalan, masih mampu melakukan kerja, masih ada tempat berteduh, masih cukup tidur dan makan, masih dicurahkan kasih sayang oleh ibu bapa. Masih itu dan ini. Takkan kita nak dakwa Allah dah tak sayang kita?

Iffah, ibadah kita sehari-hari pun adalah sokongan kita. Kita disuruh solat, itulah sokongan kita. Kita disuruh baca al-quran, itulah sokongan kita. Kita disuruh menimba ilmu, itulah sokongan kita. Hatta kita ralit main phone sekalipun, tengah scroll media sosial tiba-tiba terbaca status/caption yang mengingatkan kita tentang Allah, itulah sokongan kita.

Jangan pernah rasa hilang sokongan untuk berubah sebab sebenarnya setiap hari petunjuk dan hidayah Allah tu ada untuk kita. Melalui syariat agama-Nya, melalui rahmat-Nya, melalui macam-macam. Kita rasa kehilangan mungkin sebab kita yang menjauhkan diri daripada Dia. Kita sendiri yang berpaling. Dosa kita buatkan semuanya jadi kabur. Akhirnya kita salahkan Allah sebab tarik nikmat."

Iffah hanya mendiamkan diri, cuba menghadam dengan hati apa yang sedang didengarinya ketika itu.

"Hidayah memang milik Allah, tapi tugas kita cari bukan goyang kaki. Dalam bahasa mudahnya, kita yang kena cipta sokongan kita sendiri. Kalau kita asyik nak harapkan sokongan daripada suasana atau orang di sekeliling semata-mata tapi kita sendiri tak nak paksa diri untuk berubah pun tak ada gunanya.

Allah tarik semua tu dari awak sebab Allah tahu awak dah kuat daripada sebelum ni. Awak dah boleh berdikari. Allah tahu tanpa bantuan semua tu pun awak boleh berubah. Tanpa semua tu pun awak boleh tinggalkan masa silam awak. Tanpa semua tu pun awak boleh setia atas jalan dakwah ni. Kenapa awak tak nak buktikan pada diri awak sendiri yang awak boleh?"

"......"

Amira memberi ruang untuk Iffah melakukan introspeksi sebentar. Tangan Iffah digenggam erat, serba sedikit mendamaikan hatinya yang gundah-gulana. Iffah berasa selesa dan tenang tatkala menatap raut wajah Amira yang begitu tekun menasihatinya. Jelas terpapar kesungguhan dari refleksi anak mata sahabatnya itu.

Setelah beberapa minit, Amira menyambung.

"Kalau kita gagal menemui kebaikan di sekeliling kita, kitalah yang perlu mewujudkan kebaikan tersebut. Tak jumpa kawan yang soleh solehah, kitalah yang kena jadi soleh solehah. Tak jumpa suasana yang baik-baik, kitalah yang kena adakan suasana yang baik walaupun dengan hanya mengajak kawan sebilik solat berjemaah kat rumah.

Kalau kita hilang sokongan, kita yang kena cari sokongan sampai jumpa. Contohnya dekati orang-orang soleh dan duduk dalam majlis ilmu. Mungkin itulah sebabnya Allah jauhkan sesuatu tu dari kita. Allah nak tengok sejauh mana kecekalan hati kita untuk berubah. Itulah yang dikatakan mujahadah. Percayalah cakap akak, sokonglah diri awak sendiri dulu, nanti hal-hal yang lain akan menyusul."

"Sa.... saya... saya malu dengan diri sendiri kak."

"Tak apa, belajar dari ujian. Jadikan kehilangan awak ni satu peluang. Lepasni solat taubat, banyakkan berdoa. In shaa Allah, Allah akan buka pintu hati tu. Kuncinya syukur."

"Baik kak in shaa Allah, akak doakan saya ya?"

"Ehem pakwe awak handsome ke? Kawan dia single?"

"Hahaha aip nakal eh!"

"Alamak solat taubat berjemaah lah kita ni?"

"Walaweh. Akak Imam!"

Suasana waktu petang itu diserikan lagi dengan senda gurau mereka berdua. Dalam keriuhan gelak tawa itu, Amira berdoa supaya Allah mengurniakan sinar petunjuk serta hidayah-Nya buat Iffah. Mudah-mudahan segala urusan sahabatnya itu dipermudahkan.

Dan.....

Jauh di relung hatinya, dia sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menarik seorang lagi insan supaya dekat dengan Tuhan. Baginya, peluang ini teramat istimewa.

"Terima kasih Allah kerana dari dulu lagi Engkau menyokong aku menjadi seorang penyokong." Bisiknya di dalam hati. Kali ini, matanya pula yang berkaca.