Bab 2 - Kaki Umpat
Keesokan harinya, setelah selesai solat subuh berjemaah di ruang tamu, mereka hanya duduk di dalam bilik untuk melakukan kerja masing-masing memandangkan hari itu adalah hari Sabtu. Jika ada masa terluang, jarang sekali mereka keluar berfoya-foya ke tempat-tempat mewah walaupun telah diajak oleh rakan-rakan serumah yang lain.
Kebiasaannya, mereka akan melakukan aktiviti bersama ketika di hujung minggu. Keakraban yang terbina hasil daripada jalinan persahabatan antara mereka selama bertahun-tahun menjadikan mereka tidak pernah berasa bosan meluangkan masa berdua tidak kira tempat walaupun perkara itu asyik berulang-ulang setiap minggu.
Lagipun, mereka bukannya menghabiskan masa untuk tidur dan bermain permainan video sahaja sehari suntuk sebaliknya menyiapkan tugasan kelas, mengulangkaji pelajaran, serta aktiviti-aktiviti berfaedah yang lain. Kadangkala perkara-perkara begitu dianggap membosankan bagi segelintir pelajar bukan kerana ia memang bersifat boyak, tetapi mereka yang tidak reti menjadikannya menarik.
Selain itu, aktiviti-aktiviti santai seperti berbual mesra, beriadah, berkongsi pengalaman dan melakukan hobi, sama ada di dalam rumah ataupun di luar juga tidak terkecuali. Bagi mereka, untuk berseronok tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi. Bukanlah mereka tidak mampu, cuma mereka tahu wang ringgit itu boleh digunakan untuk hal-hal yang lebih penting terutama di saat-saat genting demi masa hadapan.
"Kata-kata cinta terucap indah.. Mengalir berdzikir di kidung doaku.. Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku.." Lagu Muhasabah Cinta oleh Edcoustic ralit dinyanyikan oleh Ifah sambil sebelah tangannya diletakkan di dada dengan mimik muka yang dilakonkan spontan gaya seperti sedang menghayati setiap bait-bait lirik yang disebut.
"Peh suara kalau sedap tak apa. Ni adik aku umur 2 tahun nyanyi alif ba ta lagi best."
"Kau jeles kan? Kau dengki kan? Kau nak suruh aku nyanyi alif ba ta sekarang?"
"Apa je yang kau ada sampai aku nak dengki? Ish tak kuasa aku. Tak payahlah bingit telinga aku dengar."
"Kurang asam! Hahaha. Kau belum tengok lagi aku menari."
"Mari tunjuk."
Ifah bingkas bangun lalu mencuit hidungnya dengan ibu jari sebagai tanda dia menyahut cabaran Raihanah. Dia berdiri tegak dan berdehem untuk beberapa kali sebelum mula beraksi.
"Tak payahlah nak 'ehem ehem' sangat. Aku suruh menari je bukan berucap pegang mic."
"Ya aku tahulah. Kau ni sabarlah sikit. I have my own style babe."
"Apa-apa je lah."
Selang beberapa minit setelah Ifah menarik nafasnya dalam-dalam, dia mula mendepakan kedua tangannya lantas dilenggok-lenggokkan bahunya ke kiri dan ke kanan seperti tarian hindustan di kaca televisyen. Dia terpusing-pusing keliling bilik dengan tarian unik rekaannya sendiri.
Raihanah yang geli hati dengan gelagat lucu sahabatnya itu hanya memerhati dari penjuru bilik tempat letaknya kerusi dan meja belajar sambil memegang perut menahan ketawa.
"Kau buat chicken dance ke tu?"
"Ha ah kan. Kenapa lah aku tak terfikir dari tadi?! Jap aku bukak lagu dia." Ifah membelek-belek telefon pintarnya dan mula menaip.
"Aiseh. Orang duk perli, dia makin galak pulak. Aku tak faham lah minah ni."
"Eh meh lah join sekali. Menari ni pun satu senaman tau." Ifah berpura-pura tidak menghiraukan sindiran Raihanah. Dia berlari anak menuju Raihanah lalu menarik lengan kiri sahabatnya itu untuk mengajaknya supaya turut serta.
Lagu chichen dance dipasang oleh Ifah melalui aplikasi youtube. Ternyata dia tidak bergurau dengan kata-katanya sebentar tadi.
"Aku ni bukan budak-budak lagi macam kau."
"Baiklah, baiklah puan. Teruskan menjadi dewasa." Lengan Raihanah dilepaskan lalu bahunya ditepuk-tepuk oleh Ifah.
"Tapi peduli apa aku? Ayuh!" Raihanah tiba-tiba akur dengan ajakan Ifah.
"Tak tetap pendirian lah kau ni. Esok-esok jangan main tukar-tukar suami sudah."
"Eh suka hati aku lah, rumah tangga aku."
Raihanah berdiri di sebelah Ifah, bersiap-siaga untuk mula berdansa.
"Kot ye pun kau tu duduk la tepi sana sikit. Ni tempat aku, mana muat."
"Ha ah memang bilik ni tok wan kau punya."
Ifah hanya ketawa mendengar jawapan Raihanah. Jauh di sudut hatinya, dia cuma mahu Raihanah kembali gembira seperti selalu.
15 minit sudah berlalu.
Setelah puas berhibur dengan melakukan pelbagai jenis tarian mengikut rentak muzik, mereka akhirnya berhenti untuk mengambil nafas dan duduk berehat di atas katil yang sama.
Raihanah mencapai botol air miliknya yang terletak di sebelah bantal di bahagian tepi dinding untuk diminum sementara Ifah masih lagi tercungap-cungap, cuba mencuri nafas dek keletihan yang belum hilang.
"Kau nak?" Raihanah menghulur botol airnya kepada Ifah.
"Boleh gak." Botol itu bertukar tangan.
Setelah minum beberapa teguk, Ifah mengembalikan semula botol itu kepada Raihanah.
"Thanks weh."
"Alah benda kecik."
"Hm... Kau..."
"....."
"Kau sebenarnya.. Err semalam.."
"...."
"Sebenarnya.... Apa yang..." Kata-katanya terhenti di situ. Ifah tiba-tiba sahaja menjadi gagap. Sebenarnya dia masih memikirkan ayat yang sesuai untuk berterus-terang bahawa dia ingin bertanya tentang punca Raihanah menangis semalam.
"Semalam apa hal?"
"Kau ada masalah ke? Aku tak boleh lah biar lama-lama."
"Hm biasalah. Kalau Allah nak uji, Dia uji."
"Kau tak nak cerita kat aku ke? Kau kata nak cerita?"
"Nantilah."
"Nanti tu bila?"
"Bila-bilalah."
Raihanah berbasa-basi. Ifah cuba memancing perhatian Raihanah dengan taktik lain. Dia tidak mahu mengalah.
"Kalau kau tak nak cerita, biar aku sendiri yang teka. Ni mesti pasal minah tu lagi kan? Apa pulak yang dia buat kat kau kali ni? Aku tak fahamlah apa yang dia tak puas hati sangat dengan kau."
"Biarlah dia, asal bahagia."
"Pakai tudung labuh dah, perangai macam apa. Asyik nak dengki je dengan orang. Nampak sangat desperate dan kurang kasih sayang. Pfft."
"Diamlah. Aku tak suka dengar kawan aku mengumpat."
"Beb, aku tengah bela kau kot?"
"Kenapa? Kau tak suka aku cakap jujur?"
"...."
Lidah Ifah kelu, kepalanya tertunduk untuk beberapa saat. Kemudian dia memandang ke atas, matanya melilau dan akhirnya tertumpu pada lampu kalimantang di siling bilik seraya berkata;
"Aku bukan nak mengumpat la tapi..."
"Tapi apa?"
"Tapi apa yang aku cakap ni benda betul kot."
"Benda betul tu lah dipanggil mengumpat. Bila salah, dipanggil fitnah."
"Tapi aku tak berniat pun nak mengumpat."
"Kalau macam tu, kenapa ada balasan untuk setiap dosa macam yang dah termaktub dalam al-quran walhal kita boleh gunakan alasan tak berniat tu sebagai tiket pelepasan? Niat tetap tak menghalalkan cara."
"Hm. Aku bukan apa, aku tak tahan dengan perangai dia."
"Habis? Nak balas dendam? Kau fikir dia akan tahan sangat kalau dengar kau mengumpat pasal dia?"
"....."
"Kalau macam ni lah cara kau nak bagi semangat kat aku, seribu tahun pun aku lebih sanggup pendam daripada luah kat kau."
"Sampai hati kau cakap macam tu. Kau tahu tak seribu tahun tu belum tentu kau hidup lagi?" Balas Ifah dengan nada yang sedikit perlahan daripada sebelumnya. Sejujurnya, hatinya agak terguris dengan kata-kata Raihanah namun dia cuba mengawal emosinya dengan menyelitkan kenyataan yang berbaur gurauan walaupun kedengaran hambar. Dia tahu Raihanah sangat disiplin dalam berprinsip. Dia sedia menadah telinga jika Raihanah mahu menasihatinya.
"Aku minta maaf."
"Buat apa minta maaf kat aku?"
"Maksud aku, aku minta maaf sebab buat kau tak selesa dengar aku mengumpat."
Raihanah hanya tersenyum sebaik sahaja menatap sisi wajah Ifah yang kelihatan agak muram.
"Rilek la kawan. Sorry, aku tak berniat nak buat kau terasa hati. Aku bukan tak nak sokong kawan, cuma bila kawan aku silap, untuk apa aku back-up walaupun kemenangan tu akan berpihak pada aku sekali? Itu bukan tanda sayangkan kawan. Aku bukan nak bela dia sangat, aku cuma nak bantu perbetulkan kesilapan kawan baik aku.
Kau perasan tak Ifah? Manusia macam kita ni, dalam satu hari tu tak sah kalau tak mengutuk satu sama lain. Kalau lelaki, mungkin cara diorang lebih kasar macam terus kutuk depan-depan dengan kata-kata kesat. Kalau kita yang perempuan ni, mengumpatlah. Halus sikit. Tapi sama je dua-dua, tak ada beza pun. Kira mengutuk gak."
Raihanah menyambung perbicaraannya sambil mendakap tubuh Ifah dari sisi.
"Aku tahu benda ni nampak remeh tapi dosa tetap dosa. Apatah lagi dosa tu melibatkan orang lain. Bukan tugas Allah maafkan dosa kita sesama manusia. Kita sendiri yang kena minta maaf dengan orang yang kita umpat. Bayangkan kalau kita mati dalam keadaan tak sempat nak minta maaf? Gerun weh. Kadang-kadang kita tahu berbuat baik depan orang, tapi belakang dia, bab mengumpat kita champion. Apa? Ingat hubungan sesama manusia ni kena jaga depan-depan je ke?"
"Chop chop. Sumpah deep weh. Jap aku nak tulis dalam buku nota aku." Ifah bergegas ke meja belajarnya untuk mengambil buku nota kecil berwarna biru tua yang tertulis "A DREAMER" di muka hadapan.
"Haih dalam sutuasi macam ni pun menyempat kau nak bergurau kan."
"Mana ada gurau, dari dulu aku memang suka catat semua bebelan kau kot. Kau je tak tahu."
Kurang seminit, Ifah kembali ke tempat duduknya di sebelah Raihanah dengan buku nota dan pen biru yang sudah tersedia di tangan.
"Cis patutlah bijak."
"Kau nak cakap siapa yang bijak sebenarnya ni?"
"Hahahahahahaha diamlah! Hahaha."
"Nak mengaku bijak tu mengaku je lah. Nak cover-cover pulak hahaha."
"Hahaha. Stop it. Sakit dah perut aku ni."
"Yelah yelah aku stop. Sambunglah tadi."
"Oh ya, pasal tadi.."
Raihanah menghela nafasnya perlahan-lahan sebelum menyambung kembali perbualannya dengan Ifah. Ifah hanya menanti penerangan Raihanah dengan sabar tanpa sebarang gesaan.
"Macam mana aku tak suka diri aku diumpat, macam tu lah aku tak suka dengar orang mengumpat apatah aku sendiri yang buat."
"Yelah. Kita tak suka orang buat kita, tapi bila kita buat orang, kita tak fikir pulak orang tu suka ke tak. Fikir seronok, fikir puas kita je."
"Betul. Ada disebut dalam surah al-hujuraat ayat 12 tentang bab mengumpat atau ghibah ni. Mengumpat ni bukan sekadar dengan kata-kata. Melalui penulisan, gelaran dan isyarat anggota pun sama. Contoh, kawan kita sebut nama si fulan. Kita pun geleng-geleng kepala tanda perangai si fulan tu teruk. Itu pun dikira mengumpat. Jangan main-main. Dosa besar tau.
Apatah lagi kalau kita sebut terang-terang aib seseorang tu dengan mulut. Look, sesetengah orang cepat melenting bila orang tegur kesilapan dia. Katanya, siapa yang berani tegur dia tu akan dicop busybody. Tapi bila dia mengumpat orang lain, rancak bukan main lagi. Kadang-kadang kesalahan orang tu tak membabitkan dia pun. Tak kacau dia pun. Tapi itulah manusia, suka cerita aib orang. Itu tak dipanggil busybody pulak. Siap jadi hobi. See?"
"Nice rhetoric. Ha ah weh. Aku perasan gak benda ni. Kadang-kadang sampai gelak terbahak-bahak sedangkan banyak lagi benda lain yang boleh dijadikan bahan jenaka selain aib orang. Dosa dianggap biasa, benda baik dianggap pelik.
Kita mengumpat orang yang bermaksiat, tanpa kita sedar mengumpat tu juga satu maksiat. Kita mengumpat orang yang buat silap, tapi kita tak sedar mengumpat tu juga silap. Aku rasa kan weh, kalau kau diberi peluang untuk cakap benda ni depan orang ramai, confirm hilang ramai kawan oh."
"Kan? Susah nak ubah keadaan apatah lagi kalau keadaan tu dah jadi normalisasi masyarakat. Sebab tu aku cakap kat kau. Kau je yang faham aku walaupun kau degil tak faham bahasa hahah."
"Hahaha mungkin sebab aku dah kenal kau lama kot. Aku faham je. Yelah, kadang-kadang kita tak mampu nak ubah keadaan dengan mulut, tapi kita boleh ubah dengan bukti melalui tindakan. Biarlah ramai orang tak perasan, aku percaya tetap ada manfaatnya di mata orang yang celik hati."
"Wah wah. Sejak bila ni?"
"Apa? Kau fikir kau sorang je boleh bagi motivasi kat orang?"
"Aku tak cakap apa-apa eh."
Ifah masih tekun menulis dan menghias notanya sementara Raihanah cuba meninjau setiap catatan dalam buku nota milik Ifah. Memang dari dulu Ifah rajin mencatat setiap perkara yang didengar yang dia rasa bermanfaat buat dirinya sendiri. Buku notanya akan dibawa ke mana-mana sahaja. Jika Raihanah digelar ulat buku kerana suka membaca, Ifah pula boleh dikatakan 'ulat pena' kerana gemar mencatat.
"Apa tengok-tengok? Sambunglah, aku tahu banyak benda yang kau pendam dalam hati tu."
"Apa lagi kau nak dengar?"
"Apa-apa je."
"Kau lah pulak cakap."
"Ok. Aku dah lama nak tanya kau. Macam mana nak tahan diri daripada mengumpat? Aku dah banyak kali try, tapi itulah nafsu ni duk suruh buat jugak."
"Kalau macam aku, aku suka menyendiri bila sakit hati dengan perangai orang. Aku cuba tenangkan diri dengan dzikir dan solat. Bagi aku, dengan menyendiri ni aku terdidik untuk jadi lebih sabar dan dapat belajar untuk bergantung pada Allah sebelum manusia. Aku luah depan Allah je.
At least, waktu tu kalau aku tak tahan sangat nak mengutuk pun, aku tak buat depan orang. Aku sorang je yang tahu. Kalau aku nak emosi pun, sekurang-kurangnya aku tak keruhkan keadaan. Paling best, aku tak transfer pahala sendiri kat orang yang sakitkan hati aku free-free macam tu je.
Lepastu bila aku rasa dah reda, aku istighfar banyak-banyak. Aku tak suka dikelilingi ramai orang masa aku tengah ada masalah. Aku rimas and takut terlepas cakap. Kadang-kadang keadaan tu akan jadi lebih senang untuk diperbaiki bila kita tak libatkan orang lain.
Kalau kesalahan orang tu tak ada kaitan dengan aku, lagilah aku tak ada alasan. Aku tak patut sibuk jaga tepi kain orang, aku dah ada life sendiri dan life aku dah cukup bahagia dah. Allah dah cukupkan semua keperluan aku. Kenapa nak mengumpat orang? Baik aku kenang aib sendiri. Dapat jugak perbaiki diri. Daripada mengintai aib orang, dapat apa?
Misal kata kalau kita duduk dalam kelompok kawan-kawan kita yang tengah mengumpat kan, kalau boleh halang, halanglah. Cakap baik-baik. Kalau rasa tak kuat, cepat-cepat lari dari situ. Kalau tak mampu jugak, tutup telinga. Tak payah bersekongkol. Dosa gak tahu? Orang yang mengumpat bersama kamu, akan mengumpat tentang kamu."
"Oh macam tu eh?"
"Cara orang lain-lain. Kalau aku, macam tu lah."
"Hm kau ingat tak dulu kau selalu cakap kat aku yang ustazah kau pesan, tak ada kebaikan yang sia-sia, kita manusia ni je yang mudah berputus asa dari rahmat-Nya. Sampai sekarang aku pegang kata-kata tu tau."
"Serius kau ingat lagi?"
"Aku bukan pelupa macam kau. Aku ada assistant aku yang tolong ingatkan hehehe." Ujar Ifah sambil mengangkat lalu mengayunkan buku notanya yang masih terbuka.
"Yelah yelah. Aku puji sikap kau suka mencatat tu."
"Kau ada nak cakap apa-apa lagi?"
"Sekadar nasihat untuk kita. Bila kita perlukan semangat, mintalah semangat bukan mengumpat. Bila kita perlukan nasihat, mintalah nasihat dan tak perlu buka aib sesiapa. Sebab akhirnya kita tak dapat apa-apa pun dengan mengumpat melainkan dosa. Hina diri orang yang menyakiti kita, hina juga diri kita yang menikamnya dalam diam (mengumpat)."
Ifah menutup buku notanya. Dia mengalihkan pandangannya menghadap Raihanah seraya tersenyum tanpa berbicara apa-apa.
"Dah kenapa? Mekap aku cair ke?"
"Ha ah weh. Aku dah lama nak tegur tapi takut kau kecik hati hahaha."
"Alah, dalam rumah je."
"Dah tahu dalam rumah, pergi mekap gak buat apa?"
"Eh kau panas kenapa?"
"Takdelah, sebenarnya aku cuma nak cakap terima kasih kat kau sebab kau banyak ajar aku. Aku akan sentiasa ingat nasihat kau ni."
"Terima kasih tak cukup. Belanja ah ais krim."
"Oh berkira dengan member. Kalau kau tak suruh pun, aku sudi je belanja kau. Setakat ais krim alah tak ada hal lah."
"Ok cun. Aku tuntut tau."
"Ya. Aku bayar, duit guna kau punya."
"Itu bukan belanja namanya!" Raihanah memukul bahu Ifah bertalu-talu.
"Adoi sakitlah. Ya ya aku belanja. Aku gurau je, lek ah. Ganas lain macam kau ni."
"Jangan sampai aku pasang kekuda."
Ifah terus menjeling Raihanah daripada atas ke bawah berulang-ulang kali sehinggalah anak mata mereka saling bertentangan. Kemudian masing-masing ketawa.
"Kau pandang rendah kat aku kan?!"
"Dah kau memang rendah, aku boleh buat apa?"
"Hahaha dah dah penat aku layan kau. Aku nak sambung tidur jap. Dah pukul 9:00 kejut aku."
"Beres bos."