Bab 1 - Sendiri Lagi
Usai solat fardhu isyak, Raihanah melipat kain telekung yang telah dipakainya dan perlahan-lahan menggantungkan kain telekung itu menggunakan penyangkut pakaian lalu diletakkan di dalam lokar besi bersebelahan dengan meja belajar tidak jauh dari tempat dia berdiri mengerjakan solat sebentar tadi.
Sejadah hanya dilipat dua secara terbalik dan diheret masuk ke ruang bawah katil yang sedia kosong. Malam itu, dia tidak berkesempatan untuk solat berjemaah di masjid seperti biasa kerana keletihan. Lagipun, tuntutan solat berjemaah di masjid hanyalah untuk kaum lelaki.
Wajahnya yang cerah bertukar merah diiringi butir-butir air mata jernih yang masih lagi bertakung di empangan matanya. Fikirannya bercelaru, sebak di dadanya ditahan. Dia teramat letih kerana baru sahaja pulang dari kuliah dan keletihannya menjadi berlipat kali ganda akibat menangis.
Badannya lemah gemalai, namun dia gagahkan juga dirinya untuk meneruskan kerja-kerja yang patut. Dia tidak suka menangguh kerja walaupun keadaan tubuhnya pada ketika itu mewajarkan dia untuk berehat sahaja di atas katil ditemani mimpi-mimpi yang indah.
Hanya dia seorang sahaja yang tinggal di dalam bilik. Seorang lagi rakan sebilik yang juga merupakan sahabat baiknya sejak di bangku sekolah perlu menghadiri mesyuarat exco di fakulti dan mungkin pulang dalam pukul 10 malam paling lewat, menurut sahabatnya itu.
Mereka berkongsi bilik sejak dari semester satu lagi. Kini, mereka sudah berada di semester empat bersamaan lebih kurang 2 tahun pengajian. Mereka masih ada baki dua semester lagi bagi menyempurnakan tempoh pengajian diploma.
Jam di dinding menunjukkan tepat pukul 9:00 malam. Raihanah tidak ingin membazir masa lalu dia mengambil keputusan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah dan membaca sedikit bahan ilmiah sebelum masuk tidur.
Memang itulah hobinya sejak bergelar pelajar sekolah, tidak sah jika tidak menjamah sedikit bahan bacaan sebelum melelapkan mata sehingga dia digelar ulat buku oleh teman-teman rapat. Tambahan pula, dia mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam. Maka, dengan mengambil pendekatan membacalah, ia sedikit sebanyak dapat membantunya untuk tidur.
20 minit sudah berlalu. Sekali-sekala tangannya mengesat sisa-sisa air mata yang gugur di pipi. Raihanah masih tidak dapat fokus sepenuhnya pada kerjanya walaupun jari-jemarinya tidak henti menekan papan kekunci untuk menaip isi tugasan yang perlu diselesaikan.
Ada sesuatu yang berlegar-legar di mindanya pada ketika itu dan dengan tidak semena-mena dia menangis lagi. Hiba di hatinya tidak berjaya dibendung. Ternyata dia gagal berpura-pura baik. Dia hanyut dalam lautan emosinya sendiri.
Tanpa dia sedar, ada seseorang yang sedang memerhatikan gerak-gerinya di sebalik celahan pintu bilik yang terbuka seluas satu inci itu.
"Ya Allah.. Ya Allah.." Itu sahaja yang keluar tersekat-sekat dari mulut Raihanah dalam esakan tangisannya.
Setelah puas menangis, barulah dia menyedari akan kelibat seseorang yang sedang berdiri di belakang pintu sejak tadi. Dia cepat-cepat mengusap air matanya dengan tangan. Kepalanya didongakkan sedikit sambil dikelip-kelipkan matanya berulang kali.
Tanpa berlengah lagi, dia terus berjalan ke arah pintu. Sebelum dia sempat memegang tombol pintu untuk menariknya agar terbuka dengan lebih luas, pintu itu sudah pun ditolak perlahan menampakkan satu susuk tubuh yang amat dikenalinya.
"Allahu Akbar. Ifah! Terkejut aku. Ingat ju'on tadi." Ujar Raihanah sedikit terperanjat.
"Ju'on tak pandai berdiri." Balas rakan sebiliknya bernama Afifah yang lebih mesra dengan panggilan 'Ifah'.
"Tapi ju'on pandai buka pintu." Seloroh Raihanah sambil menganjakkan sedikit badannya untuk memberi ruang kepada Ifah masuk ke dalam bilik.
"Eh ye ye je kau. Kau kawan ju'on ke?" Balas Ifah bernada sarkasrik.
"Hahaha. Kau ni tak sah kalau tak skodeng aku kan? Eh awal kau balik?"
"Ha ah memang hobi aku skodeng kau. Oh ya, sepatutnya ada makan-makan sikit tadi tapi aku minta izin bawa balik je makanan ni. Ingat nak makan dengan kau?"
"Eh aku dah makan tadi. Kau makanlah. Aduh, susah-susah je."
"Kau okay ke weh?! Mata bangkak tu."
"...."
"Kau okay ke?"
"Aku okaylah. Kan cun lagi muka aku ni?"
"Aku kenal lah kawan aku. Kau ingat aku tak nampak apa kau buat dari tadi?"
"Hm..."
"Tak nak story?"
"...."
Raihanah tidak menjawab pertanyaan Ifah. Dia hanya mengukirkan senyuman kelat. Ifah perasan akan riak wajah Raihanah yang sedikit berubah dek soalannya sebentar tadi.
Raihanah kemudiannya kembali ke tempat duduk dan menyambung semula kerjanya bagi mengelakkan Ifah daripada bertanya dengan lebih lanjut tentang punca kesedihan yang sedang cuba disembunyikannya.
Ifah sangat mengenali perangai sahabatnya itu. Mereka sudah berkawan selama lebih 7 tahun. Sepanjang perkenalan mereka, Raihanah seorang yang pendiam dan tidak suka berkongsi masalah dengan orang lain melainkan jika dia benar-benar buntu dan perlukan nasihat daripada seseorang.
Hal ini bertentangan dengan sikap Ifah yang agak peramah dan mudah berkongsi cerita dengan sesiapa sahaja. Ifah teringat bahawa Raihanah pernah menjelaskan kepadanya alasan dia bersikap demikian.
Katanya, dia bukannya tidak percaya kepada kawan, cuma dia tidak suka meluahkan isi hatinya ketika emosinya tidak stabil. Risau jika dia bukannya sekadar meminta nasihat tetapi turut menghina, mengumpat dan membuka aib orang lain.
Dia juga khuatir jika dirinya tidak terkawal dan akhirnya merungut dan kufur akan nikmat Tuhan. Dia lebih selesa bercerita ketika hatinya sudah lega kerana waktu itu dia lebih tenang dan fikirannya sudah waras. Ifah mengerti benar kerana baginya, ada betulnya juga kata-kata Raihanah.
Apabila seseorang yang sedang dihimpit emosi diasak-asak pula dengan sokongan mental mahupun fizikal daripada orang lain, tidak mustahil seseorang itu akan terlanjur dalam tindakan dan tutur bicaranya.
Tatkala sudah ramai manusia datang memberi sokongan, kadangkala kita ego daripada menyedari dan mengaku kesilapan sendiri serta asyik hendak menyalahkan orang lain sehingga sanggup menjadi batu api. Waktu itu, kita merasakan diri kita sahaja betul.
Seandainya kita berada di pihak yang benar sekalipun, kita menggunakan kelebihan sokongan orang di sekeliling itu untuk mengecam dan mengherdik mereka yang bersalah berbanding menasihati dan membimbing mereka. Kita terlalu bangga dengan potensi diri kerana adanya pengampu-pengampu yang membuta-tuli dalam mengakur.
Pandangan kita dikaburi dengan deretan kata-kata semangat yang dilontarkan orang-orang di sekeliling sehingga menjadi buta antara hak dan batil. Walaupun ia memberi impak yang positif terhadap diri kita, apalah gunanya jika ia mencemarkan nama orang lain sekaligus maruah agama sendiri?
Itulah pentingnya kita bergantung harap pada Allah terlebih dahulu sebelum meletakkan kepercayaan bulat-bulat pada manusia. Sokongan manusia jarang sekali kerana kebenaran yang bertunjangkan ilmu, rata-ratanya sekadar mahu menjaga hati rakan.
Sekalipun kata-kata mereka itu sangat membina dan menjadi titik tolak untuk kita menjadi lebih sabar dan tabah, ia tetap tidak dapat menafikan kesilapan kita sendiri. Sebijak mana manusia menyusun kata, bijak lagi Allah dalam menghakimi peribadi seorang hamba.
Hal ini memberikan gambaran yang jelas kepada kita bahawa kita ini manusia yang lemah dan mudah hanyut dengan nikmat dunia. Tanpa kebergantungan kita pada Allah, musnahlah diri kita. Kadangkala kita perlu mengasingkan diri untuk mengenali diri sendiri.
Jika kita lebih gemar mengadu dan meminta pertolongan daripada manusia lebih kerap berbanding mengadu pada Allah, dibimbangi suatu hari nanti kebergantungan kita pada Allah itu terlupus terus menyebabkan kita hilang keupayaan untuk bermuhasabah diri.
Disebabkan itulah kita perlukan masa untuk hilang sebentar daripada hiruk-pikuk dan kecamuk dunia. Kita perlukan ruang agar jauh dari perhatian manusia dan publisiti media sosial untuk seketika. Dengan cara beginilah, kita dapat berfikiran rasional atau dengan kata lain, tahu membezakan mana yang betul dan mana yang salah.
Sokongan manusia itu perlu, tetapi biarlah kena pada waktu dan cara. Carilah masa untuk menyendiri sambil mengamati setiap ujian yang Allah turunkan buat kita. Cubalah mengecapi ketenangan dengan beruzlah sambil banyak mengingati Sang Pencipta. Ini termasuklah mendalami ilmu.
Ketika manusia lari dan tidak sudi lagi bersama kita, kita masih ada ilmu yang menjaga diri kita sehingga mati. Jika kita berakal, jangan biar mulut mengatasi kewarasan akal sendiri gara-gara emosi.
Seperti mana kedudukan akal yang berada di atas mulut, seperti itu jugalah ia harus beroperasi. Sepahit mana pun hakikat sebuah kehidupan, perkara yang salah akan tetap salah.
Ini tidak. Sebaik sahaja ujian hadir, kita terus memberontak dan mencanangnya pada dunia atas alasan perlukan nasihat dan dorongan. Walhal, Allah sebenarnya mahu kita belajar sendiri daripada ujian dan bangkit sendiri setelah tersungkur.
Ifah mula berjalan menuju katilnya melepasi Raihanah. Sambil tangannya mencabut keronsang kerudung yang sedang dipakai, dia mengangguk-anggukkan kepalanya seperti sedang khusyuk memikirkan sesuatu.
Raihanah yang dari tadi tertanya-tanya akan kebisuan Ifah mula mengalihkan pandangannya agar tertumpu ke arah sahabatnya itu seraya berkata,
"Nak berdzikir pun tak payahlah sampai nak tercabut kepala tu."
Ifah tidak memberi respon balas.
"Sah kena sampuk hantu dia ni." Bisik Raihanah.
"Hah?! Amende weh?"
"Tak ada apa-apa." Raihanah ketawa kecil tanda tercuit hati.
Ifah sekali lagi lari dari realiti, seakan-akan tidak mahu berganjak dari dunianya sendiri.
Bukanlah kita tidak dibenarkan langsung untuk bergaul sesama manusia lain malah itu yang dituntut dalam Islam. Tetapi biarlah berpada-pada, jangan sampai kita kehilangan diri kita sendiri kerana terlalu sibuk menarik manusia untuk terus sudi bersama kita.
Kadangkala kita gagal mengawal diri daripada mengulangi kesilapan yang sama kerana kita enggan belajar daripada kesilapan pertama. Diuji dengan ujian yang serupa namun masih gagal menemui hikmah yang tersembunyi. Kita kurang meneliti percaturan Tuhan.
Ifah bermonolog sendirian di dalam hati. Menyedari akan prinsip sahabat baiknya itu, dia hanya mendiamkan diri sahaja tanpa banyak soal. Sesekali terbit rasa syukur di sudut hatinya kerana dikurniakan seorang sahabat yang banyak mengajarnya erti kehidupan sebagai seorang hamba.
Ifah berharap menjelang esok apabila Raihanah sudah reda, dia akan memberitahu juga masalah yang dihadapinya. Ifah tidak sanggup membiarkan Raihanah berterusan begitu dalam keadaan dia tidak berbuat apa-apa untuk membantu. Baginya, melihat kesedihan sahabatnya itu lebih perit berbanding menanggung kesedihannya sendiri.
"Kau fikir apa? Jauh menung? Aku pulak yang risau." Raihanah menyoal sambil mengerutkan dahinya.
"Fikir pasal bakal suami aku. Aku baru tahu yang aku ni akan jadi isteri kedua kalau kahwin dengan dia."
"Kau fikir kelakar?"
"Fikir pasal kau lah. Apa lagi? Kau tahu tak aku risau?"
"Alah nanti-nanti aku ceritalah."
"Yelah. Aku tuntut eh. Kau jangan
buat-buat lupa pulak."
"Baik bos!"
"Dah aku nak mandi pastu nak tidur. Kau tu jangan paksa diri buat kerja, kalau dah ngantuk, tidur je. Sambung esok. Ha pastu jangan lupa tutup lampu."
"Yelah yelah. Dah dah pergi mandi, tak payah membebel lagi."
Ifah mencapai tuala merah jambu miliknya yang tergantung di sebelah katil dan melangkah masuk ke dalam bilik air sementara Raihanah masih lagi sibuk dengan tugasannya.
Perbualannya dengan Ifah sebentar tadi sedikit sebanyak memujuk dirinya untuk terus bersabar. Dia membuka alunan ayat-ayat suci al-quran melalui komputer ribanya dengan harapan terubat sedikit luka di hatinya.
Betapa ajaibnya kalam Allah, mampu memberikan ketenangan kepada sesiapa sahaja walaupun dengan hanya mendengarnya. Alangkah baiknya jika ayat-ayat ini dijadikan santapan wajib buat setiap jiwa umat Islam di atas muka bumi.