Be Yourself?
Pagi itu sepi, angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut menempah tenteram buat setiap jiwa yang menikmatinya. Kicauan burung seolah-olah menjadi alunan lagu yang menceriakan lagi suasana di pagi hari.
Hening sahaja suasana di kolej hari itu berbeza dengan hari-hari lain. Barangkali kerana hari itu hari cuti, tiada kekalutan atau bunyi bising para pelajar yang bersiap-siap untuk bergegas ke kuliah.
Iman terpaksa mengorbankan rasa rindu serta keinginannya untuk pulang ke kampung halaman bertemu keluarga tercinta kerana terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan. Tambahan pula, rumahnya terletak jauh dari tempat mengaji.
Langsir disingkap perlahan lalu udara segar dari luar jendela kamar dihirup dan dihembuskan berulang kali. Dia mengambil masa lebih kurang lima minit untuk menikmati indahnya penciptaan alam.
Alhamdulillah masih diberi keizinan oleh Allah untuk bernafas.
Tiba-tiba....
Gedegang! Meja belajar dihentak kasar.
"Apahal kau ni? Nak kata suami lari, kau belum kahwin."
"Eyy panas mata aku tengok diorang ni tayang dosa sini sana. Tak reti malu ke?!"
"Amboi. Kau tak pernah buat dosa ke?"
"Astaghfirullahal 'adzim. Bukan apa Man, parah sangat aku tengok. Sebelum ni pun aku dah tegur tapi macam tu jugak, tak ada beza pun. Makin teruk adalah."
"Siapa?"
"Ali dengan Alia la siapa lagi?!"
"Uish lek lek. Kot ye pun tak puas hati, jangan lepaskan kat aku. Haa apa cerita?"
"Kau macam tak tahu. Semalam dah kantoi kena tangkap dengan Ustaz Karim sebab dating. Aku ingat harini dah serik la. Tiba-tiba kau tengok ni, boleh dia post gambar berdua berpeluk siap pegang-pegang tangan bagai dekat instagram. Amboi amboi comel perangai?"
"Serius ke wei?"
"Kau ingat aku tak tahu ke menipu tu dosa besar? Aku nak tipu kau pun untuk apa?"
"...."
"Aku bukan apa, aku tak fahamlah dengan orang jenis macam ni. Post gambar dan conversation sweet-sweet dengan pakwe lepastu pergi conteng muka pakwe, bubuh sticker lah apa lah, tak nak bagi orang kenal. Dah alang-alang canang dosa tu, haa bagitahulah sekali dengan siapa kan. Orang tahu jugak yang dia tu couple. Kau explain kat aku Man, mana tahu kot kot kau faham orang jenis macam ni?"
"Hoii mulut tu.. Sumbat lada benggala kang baru tahu. Dah nak buat macam mana? Hidayah bukan milik kita."
Iman melangkah keluar dari bilik menuju ke ruang tamu dan melabuhkan punggung di atas kerusi di meja belajarnya untuk menyiapkan tugasan yang tertangguh. Lia hanya mengekori dari belakang lalu dicapai kerusi dan duduk bersebelahan dengan Iman.
"Kau ni pasrah sangat la Man. Kau tak berapi ke?"
"Lia, kita mungkin nampak dosa orang tapi taubat dia kita tak nampak. Kita nampak silap orang tapi penyesalan dia kita tak nampak. Hati orang kita tak tahu. Sebab tu lah kita jangan jadi penghukum, jadilah pendakwah."
"Ya saya faham ustazah. Tapi.."
Belum sempat Lia menghabiskan kata-katanya...
"Tapi apa?!" Terjegil mata Iman sambil bertanya, mencelah leteran Lia.
"Tapi ustaz aku pernah cakap. Kalau kita belum mampu untuk tinggalkan sesuatu dosa tu pun, at least janganlah heboh satu dunia yang kita tengah buat dosa. Simpan je elok-elok, jaga aib sendiri. Dalam masa yang sama cubalah berubah. Kau pun tahu kan?"
"Ha ah, betul. Ada dalam satu hadith dari Abu Hurairah r.a. tu. Allah memaafkan semua dosa kecuali dosa orang yang menjaja dosanya sendiri. Elok Allah dah tutup aib, kita pergi bukak."
"Tahu pun! Apa tunggu lagi Man?"
"Apa? Kau nak suruh aku pergi cari parang, pancung kepala diorang buat masak lemak cili api?"
"Taklah. Nak suruh masak patin tempoyak."
"Hambar Lia hambar." Balas Iman lalu meletakkan kedua-dua belah tangannya di bahu sambil mata dinaikkan ke atas tanda menyampah.
"Aku just.... Entahlah wei. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana."
"Misteri kau ni."
Lia dan Iman terdiam seketika. Suasana kembali sunyi.
"Kau sedar tak yang kita tengah mengumpat? Kau duk komen orang bukak aib sendiri, yang kau duk bukak aib orang tu tak apa?" Soal Iman kepada Lia.
"Peh! Aku sedar, aku sedar. Tapi lepas kau cakap ni lah. Huhu."
"Esok pergi mintak maaf."
"Baik boss! Tapi kau kena ikut akulah sebab kau pun bersekongkol sekali makan daging orang."
Iman yang sedang khusyuk menulis itu mengalihkan kepalanya menghadap Lia lantas menjelingnya gaya seperti mahu kekah sehingga lumat sahaja minah pokpek itu. Menjengkelkan sungguh.
"Ada yang kena smackdown ni kang."
"Ok ok rilek la. Tapi kan..."
"Apa lagi bedah oi? Mulut tu kalau tak bergosip sehari tak sah."
"Ish ni bukan gosip. Oklah oklah aku insof aku insof! Tak buat lagi dah."
"Apa benda pulak kali ni?"
"Ada kawan aku sorang ni, dia pernah nasihat sorang hamba Allah ni sebab bercouple gak. Lepastu si hamba Allah ni buatlah status. Aku tak ingatlah ayat dia macam mana tapi dia nak bagitahu yang dalam keadaan dia bercouple tu, at least dia bukan hipokrit macam sesetengah perempuan yang pakai tudung labuh, jenis tak pandang laki, jaga ikhtilatlah konon tapi belakang kemain galak melayan jantan."
"Kau nak kata dia macam nak jadi diri sendiri lah ni? Bukan pakai topeng, budak-budak sekarang cakap fake la. So dia carilah kesalahan perempuan bertudung labuh untuk pertahankan kesalahan sendiri?"
"Ya bener itu mbak. Aku tak pernah tahu kau sepandai ni Man."
Iman tidak berkata apa-apa. Hanya melepaskan keluhan perlahan sambil tersenyum.
"So aku nak mintak pendapat kau lah. Kau rasa macam mana nak betulkan mentaliti diorang yang berfikiran macam tu?"
"Kau rasa gaya pemikiran yang macam tu salah ke?"
"Hmm bukan salah, tapi perlu diperbetulkan."
"Pada akulah, istilah 'be yourself' tu ada keadaan memang boleh pakai. Tapi ada jugak keadaan yang tak relevan langsung. Bukan istilah tu yang salah tapi fahaman sesetengah orang tentang maksud sebenar statement tu yang tak betul. Ada orang, mereka menganggap nak jadi diri sendiri ni bermakna kalau dosa kita tersebar satu dunia pun tak kisah. Itu yang tak kena tu. Bagitahu dosa tak semestinya dengan mulut, melalui tindakan pun orang dah boleh pikir macam-macam."
Kata Iman melontar pendapat sambil matanya masih tertumpu pada kertas kerjanya di atas meja sementara tangan kanannya ligat menarikan pena.
"....."
"Lia? Kau dengar tak apa aku cakap ni? Lia?"
Sebaik sahaja Iman menoleh ke arah tempat Lia duduk sebentar tadi, kelibat Lia hilang dari pandangan. Iman mendongakkan sedikit kepalanya untuk menjenguk ke mana perginya Lia. Kelihatan Lia sedang membancuh air di satu sudut di dapur.
"Ngantuk dah Man. Aku buatlah milo." Kata Lia sambil berpura-pura menguap.
"Kau mintak pendapat aku, macam ni pulak kau buat aku kan. Malas lah nak layan kau lagi."
"Why?! Aku ada buat salah ke? Aku bancuh air je kot. Aku dengar je apa kau cakap."
Sambil memegang secawan milo panas (tenaga untuk melangkah jauh!) hasil air tangannya sendiri, Lia berlari anak untuk kembali ke tempat duduknya.
"Lagi? Sambunglah."
"Malas aku."
"Alah, merajuk ke? Alah aku gurau pun tak boleh?"
"Tadi kau tanya aku kan? Biar aku pulak tanya kau."
"Amende?"
"Pada kau 'be yourself' ni macam mana?"
"La la, la nahtajul ma la, kai nazdada jama la, jauharna huna, fi qalbi talala. La la, nurdhin nasi bima la, nardhohu la na ha la, za ka jamaluna, yasmu yataa la. Oh oh oh oh~" Lagu kun anta nyanyian Humood al-Khuder didendangkan oleh Lia sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Aku suruh kau explain bukan menyanyi."
"Itulah kau. Lagu arab tahu, maksud tak tahu. Lirik tadi tu maksudnya; "bukan bukan kau tak perlu harta, untuk jadi sempurna, permata indah hanya di dalam jiwa. Bukan bukan kerana harta, kau akan jadi berharga, hati yang mulia itulah kuncinya." Ok macam ni lah. Pada aku, jadi diri sendiri ni bermakna kena ada permata dalam jiwa kita haa gitew kau jah. Dalam erti kata lain, permata tu membawa maksud akhlak yang mulia.
Dah nama pun permata, takkan nak disandarkan pada dosa atau akhlak buruk pulak kan? Kita terutama remaja ni selalu bergelut dengan identiti sendiri antara diri yang kita MAHU jadi dengan diri yang SEPATUTNYA kita jadi. Kalau kita nak jadi apa yang kita mahu jadi je setiap masa tanpa memikirkan tentang tuntutan agama ke atas diri kita, kadang-kadang kita tak sedar sama ada perkara yang kita buat tu betul atau tidak, benar atau batil.
Yelah manusia kan, terdedah dengan banyak salah dan silap. Tapi kalau kita sedar siapa diri yang sepatutnya kita jadi yakni siapa diri kita yang sebenarnya, secara automatik kita akan tahu juga apa yang kita mahukan. Kita akan peka akan setiap perkara yang kita lakukan dari sekecil-kecil perkara sampailah sebesar-besar perkara.
Daripada situlah kita boleh jadi diri sendiri iaitu dengan menyedari bahawa diri kita ni cuma seorang hamba dan kita sedaya upaya cuba untuk menjadi yang terbaik. Kalau diri kita yang sebenar pun kita tak kenal, bertindak macam dunia ni milik kita, tak sedar pun yang kita ni sebenarnya hamba Allah, lupa diri, macam mana nak jadi diri sendiri? Aci tak kalau aku kata itu baru dikatakan fake? Ok itulah pendapat aku."
"Chop chop. Aku tahulah maksud lagu tu. Antara part yang aku suka masa nak last-last tu. "Jadi diriku semampuku, bukan jadi dirinya, jadi diriku inilah aku, tidak kerana dirinya."
Yes, be yourself is jadi diri sendiri. Tapi jadilah diri sendiri menurut syariat Islam. Bermakna kita perlu melakukan perubahan dan pengorbanan, bukan kita perlu jadi sama pada setiap tingkat dalam kehidupan. Kalau dulu teruk tahap iblis, takkan sekarang masih nak bajet iblis? Setiap hari buat maksiat bermakna boleh terus bermaksiat. Dulu sama, sekarang pun sama. Sekarang buat dosa, tak nak cuba tinggalkan dosa atau tak nak cuba berubah jadi lebih baik. No.
Walaupun kita dah berubah (ke arah kebaikan), kita tetap diri kita. Cuma diri kita yang baru. Baru tak semestinya lari dari landasan 'be yourself'. Alah biasalah, kadang-kadang segigih mana pun kita cuba nak jadi baik, mesti ada juga kesalahan atau dosa yang terzahir dan dipertikaikan oleh orang lain. Manusia kan. Ya kita lemah kerana belum mampu meninggalkan dosa tapi janganlah melemahkan lagi diri kita dengan tidak rasa berdosa langsung menayang dosa.
Allah ciptakan kita sebagai khalifah (al-Baqarah, 2:30), bermakna pusing la celah mana pun, kita tetap perlu menjadi seorang khalifah. Bukan boleh buat ikut suka hati. Bukan pakai redah tanpa guna akal. Bukan nak amalkan Islam ikut mana yang kita rasa senang tapi yang kita rasa susah kita tinggal (al-Baqarah, 2:208). Kita hidup bertuhan.
Seorang khalifah mana boleh selesa duduk dalam gaung dosa. Seorang khalifah sepatutnya lebih sensitif soal dosa tak kiralah kecil ataupun besar. So konklusinya, kalau kita sedang cuba menjadi the true khalifah, itulah maksud 'be yourself' dalam erti kata yang sebenar pada aku sebab itulah tujuan asal kita diciptakan, itulah hakikat kehidupan seorang insan, itulah diri kita yang sebenar-benarnya."
"Betul, aku setuju. Ada beza hipokrit dengan menjaga aib ni. Orang hipokrit selalunya ada niat jahat. Contoh, aku depan kau punya baik gila tapi belakang mengata bukan main. Aku benci gila kat kau, kau macam mangsa keadaan lah. Tapi menjaga aib sendiri ni kita nakkan kebaikan untuk diri kita, tak ada niat tak elok dalam hati. Kalau dah buat dosa, kita tak nak tunjuk kat orang sebab takut bertambah lagi dosa. Takut kita jadi punca orang lain nak buat dosa sama. Pengaruh dari tindakan.
It is all about ourselves. Kita tak nak mengundang fitnah. Kita tak mahu memburukkan lagi keadaan demi kebaikan kita sendiri dan orang lain juga sebenarnya. So sepatutnya kita malu bila kita tak malu menayang dosa sini sana, bukan mempamerkan dosa sebab malu kalau tak jadi diri sendiri, takut dituduh hipokrit and so on. Tapi janganlah pulak kita jadikan itu sebagai alasan untuk terus bergelumang dengan dosa. Banyak cun pulak muka kita kan."
"Ye lah. Lebih-lebih lagi mereka yang membawa imej Islam, lagilah kena jaga. Bertudung labuh, sekolah agama, menghafaz al-quran, belajar ilmu agama, ambik bidang agama, sepatutnya golongan macam ni kena lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu. Bukan nak hina atau nak kata orang yang pakai tudung pendek, tak sekolah agama apa semua tu tak baik, cuma sedar atau tak, ada dalam kalangan orang di sekeliling kita yang menjadikan kita ini role model diorang disebabkan imej Islam yang kita bawa."
"Ha ah wei. Lagipun, cuba kau fikir. Kalau diikutkan lah berdasarkan pemahaman serong orang ramai tentang maksud 'be yourself' ni kan, kalau betul lah nak jadi diri sendiri ni bermakna tiada had atau sekatan dalam tingkah laku kita, aku rasa benda tu tak masuk akal lah. Yelah, macam kau. Kau ni kadang otak tak betul, masuk air pasir apa semua bila dengan aku.
Gila-gila kau tahap lebih kurang je dengan orang gila. Perangai tak boleh bawa bincang, etika kau pergi balik kampung tak balik-balik. Tapi takkanlah kau depan guru-guru atau orang yang terhormat pun kau nak bertindak macam tu kan? Maksud aku, ye jadi diri sendiri ni ada masa kita tak perlu nak sorok identiti sebenar kita. Tapi, ada keadaan dan situasi yang kita kena jaga. Masih ada batas, masih terikat dengan hukum atau adab."
"Mulut kau tu berapa tahun tak berzikir? Sedap lutut dia je mengata orang hahah. Tapi betul lah tu, aku faham aku faham. Hebat rupanya kawan aku sorang ni."
"Eh mestilah. Tak macam kau."
"Haa riya' riya'."
"Riya' riya' jangan main. Benda macam tu berkaitan hati, tak nampak dengan mata kasar. Jangan sesuka hati tuduh orang."
"Aku gurau je wei. Hak alah macam tak biasa halah!"
"Aku tahulah. Aku saja je nasihat. Kan nak jadi diri sendiri tadi? Kenalah buat apa yang Allah suka."
"Hahaha iyelah."
"Wei Man, kalau satu hari nanti kau nampak aku buat dosa, tegurlah aku. Jangan segan nak tampar tumbuk ke apa, aku izinkan. Kalau kau segan jugak, aku yang tampar kau."
"Bukan setakat penampar penumbuk, sepak terajang pun aku sanggup. Aku pun sama, tegurlah jugak kalau tersilap. In shaa Allah kita sama-sama cuba jadi baik."
"Eh jadi diri sendiri la hehe."
Mereka pun menghamburkan tawa memecah kesunyian waktu pagi yang diluangkan bersama.
"Woii! Orang nak final exam ni. Senyaplah sikit!" Bentak penghuni sebelah rumah sambil mengetuk meja tanda berang. Marah benar bunyinya.
Maka mereka berdua pun ber'oopss'.
"Kau lah ni gelak kuat sangat."
"Kau yang mula dulu."
"Ah! Gi main jauh-jauh. Aku nak sambung kerja."
"K fine. Tak payah minum milo aku."
"Aku buat lagi sedaplah!"
-TAMAT-
p/s: Watak dan jalan cerita hanyalah rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun sudah mati. Juga langsung tidak ada kena mengena dengan saya atau manusia-manusia bernama Iman yang lain. Sekian.